RUMAH TRADISIONAL NEGERI PERAK-RUMAH KUTAI
Di Malaysia, selain kepelbagaian baju tradisional, makanan tradisional, permainan tradisional dan sebagainya, terdapat juga kepelbagaian dalam reka bentuk rumah seperti di Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak. Rumah tradisional Melayu yang awal yang digunakan oleh Melayu dipanggil “dangau” atau “teratak”. Bentuk rumah tradisi ini adalah ringkas. Pada masa dahulu, tiang Rumah tradisional Melayu adalah bulat dan diperbuat daripada anak-anak pokok kayu. Seluruh rumah diperbuat daripada kayu dan bumbungnya daripada atap nipah atau rumbia.
Bentuk Rumah tradisional Melayu ini telah mengalami perubahan sedikit demi sedikit. Tetapi bentuk asas iaitu bertiang dan berlantai tinggi dari tanah masih dikekalkan. Bahan-bahan yang digunakan seperti kayu, atap nipah, atap rumbia, atap bertam, buluh berayam, pelupuh, kayu buluh atau batang nibung, telah digantikan dengan bahan-bahan lain seperti zing dan genting untuk bumbung dan simen serta batu bata.Bentuk rumah tradisional adalah berbeza bagi setiap negeri. Pada hari ini saya akan memfokuskan kepada rumah tradisional negeri Perak disebabkan saya orang Perak
Rumah tradisional negeri Perak lebih dikenali sebagai Rumah Kutai. Rumah Kutai memiliki persamaan senibina seperti rumah tradisional Melayu yang lain di Semenanjung Barat Malaysia tetapi ia berbeza sedikit pada senibina bumbungnya. Rumah tradisional Melayu Perak sering dihiasi dengan senibina bumbung yang panjang dan dikenali sebagai 'bumbung Perak'. Selain itu, binaan Melayu Perak yang menarik dapat dilihat ialah pada anjung yang diukir dengan pelbagai motif.
Keunikan Rumah Kutai ini adalah dari segi kehalusan ukiran yang terdapat pada pintu, bukaan tingkap, dinding dan penggunaan tanggamnya yang pelbagai. Ianya turut diperkuatkan lagi dengan kisah lama yang tersimpan sejak dahulu berkaitan dengan sejarah pembinaan dan penghuni rumah berkenaan.
Jika dilihat kepada keunikan senibinanya, ternyata ia tidak dapat dipisahkan dari beberapa pengaruh senibina luar, terutama sekali pengaruh senibina Rumah Aceh dan Rumah Adat Bugis dari Sumatera. Namun begitu, beberapa ciri tertentu dalam senibina dan bahan-bahan strukturnya masih tetap dengan identitinya yang tersendiri, iaitu sebagai senibina penduduk tempatan Negeri Perak.
Ciri-ciri khas ini terutamanya dapat dilihat pada ragam hias lebah bergantung dan penggunaan daun tepas berkelarai pada muka tebar layarnya. Struktur asas adalah kayu keras manakala atap dibuat dari daun rumbia dan dinding pelupuh dari anyaman buluh atau rotan. Rumah ini mempunyai bumbung yang agak tinggi, tetapi terdapat sedikit keunikan dari segi keterbukaan rumah ini. Ia seolah-olah tidak mempunyai pengudaraan yang baik dan mencukupi. Dinding rumah mencapai ke paras rabung atap tanpa diselangi kerawang atau seumpamanya. Ini disebabkan dinding itu sendiri tembus angin, maka ianya tidak perlu hiasan kerawang dan sikap rendah diri penghuni rumah ini. Kebanyakan rumah ini didirikan dengan tiang yang tinggi bagi bertujuan mengelakkan ditenggelami banjir.
Rumah Kutai terdiri daripada dua jenis, iaitu Rumah Kutai Tiang 12 dan Rumah Kutai Tiang 16. Kedua-dua jenis Rumah Kutai ini mempunyai struktur yang sama.
Kepupusan Rumah Kutai adalah disebabkan oleh faktor-faktor yang berikut. Antaranya ialah tiada penjagaan yang baik ke atas Rumah Kutai menyebabkan rumah ini mudah rosak. Bahan pembinaan yang digunakan seperti kayu membolehkan ia mudah diserang oleh serangga pemakan kayu seperti kumbang perosak dan anai-anai. Perkara ini membuatkan masyarakat cenderung membeli rumah batu berbanding rumah kayu pada zaman sekarang.
Selain daripada itu, faktor cuaca di negara ini juga boleh menyebabkan struktur kayu sesebuah Rumah Kutai mudah mereput dan dilitupi oleh cendawan dan kulat. Sehubungan dengan itu, sekiranya tiada tindakan susulan dilakukan dengan kadar segera, nescaya Rumah Kutai yang amat bernilai dari kesan sejarah dan senibinanya ini akan musnah menyembah bumi.
Kesimpulannya, dapat dilihat khazanah dan warisan negara kini pupus perlahan-lahan mengikut arus kemodenan. Jika ia tidak dipulihara dari sekarang, adalah tidak mustahil pada suatu hari nanti Rumah Kutai yang sedia ada ini dan Rumah Kutai yang lain akan terus pupus dan lenyap selamanya.